Saturday, 22 November 2014

SEPETANG DI PASAR PERAMU




Jumaat, 21/11/2014

Assalamualaikum..pengalaman terbaru iaitu berniaga di pasar Peramu iaitu salah satu program LDoubleUT , khidmat komuniti 1.1. Sebelum ini saya memang tiada pengalaman langsung berniaga ataupun menolong orang berniaga. Tapi kali ini saya diberi peluang untuk menolong peniaga-peniaga yang menjual di pasar Peramu. Pada awalnya gerai-gerai belum banyak yang buka dan kami terpaksa menunggu sebentar sementara peniaga-peniaga sibuk menyusun barang-barang jualan mereka dan ada juga yang baru hendak menaikkan khemah gerai.


Saya dan beberapa ahli baru LDoubleUT tertanya-tanya di manakah gerai yang  kami akan ditempatkan. Ada beberapa gerai yang dipilih iaitu gerai menjual air, makanan, sayur, ikan, ayam dan ikan masin. Saya telah diminta untuk berkhidmat di gerai makanan iaitu gerai menjual laksa Pahang, laksam dan juga bubur lambuk. Kesemua makanan ini nampak sedap-sedap belaka. Masa mula-mula saya masuk gerai itu ada dua orang makcik sedang menunggu dan menyambut salam saya dengan senyuman manis. Saya begitu terharu dengan sambutan yang diberi.

Saya bersuai kenal dahulu bersama makcik-makcik itu dan bertanyakan nama dan tempat tinggal mereka berdua. Pemilik gerai bernama mak cik Ton dan pembantunya ialah mak cik Ani. Apa yang saya lihat mak cik Ton seorang yang peramah manakala mak cik Ani seorang yang pemalu pada awalnya tapi pertengahannya mak cik Ani sudah mula hendak bercakap dan bergurau dengan saya. Mereka adalah kawan rapat yang sama-sama meniaga. Mereka sudah lama berniaga di pasar Peramu itu dan mereka juga ada menjual di pasar Kuala Pahang. Selesai sahaja sesi suai kenal saya segera membantu mak cik Ani yang kebetulan pada waktu itu sedang mengisi bubur lambuk ke dalam mangkuk plastik.

opss! yang ni candid ok, bukan acah-acah rajin


Keistimewaan bubur lambuk ini ialah resepinya turun temurun dari keluarga mak cik Ani sendiri. Sepanjang berada di gerai itu, saya sempat bertanya kepada mak cik Ani dan mak cik Ton mengenai keluarga mereka. Kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Mak cik Ton berumur 49 tahun dan suaminya sudah pencen dan sekarang penjadi petani sahaja begitu juga dengan mak cik Ani. Mereka tinggal berhampiran dengan kampus Pekan. Ada juga diantara rakan mak cik Ton yang mengenalinya bertanyakan tentang saya dan mak cik Ton hanya memberitahu bahawa saya ini anak angkat dia yang baru dan hendak menolongnya di gerai.


Sepanjang di gerai itu mak cik Ton lebih banyak bercakap berbanding mak cik Ani. Mak cik Ton banyak bercerita mengenai keluarganya. Dia ada 6 orang anak dan kesemua anaknya adalah lelaki. Anaknya yang pertama berumur 29 tahun tapi yang menyedihkan dia dari golongan OKU dan yang paling bongsu berumur 7 tahun. Bagi saya kisah hidupnya di sini agak susah berbanding saya yang hidup di bandar. Di hadapan rumahnya ada gerai kecil dan setiap pagi dia akan menjual nasi lemak manakala sebelah petangnya dia akan berniaga di pasar Peramu. Yang agak menyentuh hati saya ialah salah seorang dari anaknya yang masih belajar terpaksa berpuasa untuk beberapa hari kerana tidak mampu untuk membeli makanan dan duit yang dia dapat hanya untuk membeli buku dan barang keperluan lain sahaja.

Mendengar cerita mak cik Ton saya berasa sayu dan serta merta saya teringat mak ayah saya di Johor dan betapa besarnya pengorbanan mereka untuk saya sepanjang besarkan saya. Saya bersyukur bahawa hidup saya agak sederhana tidaklah terlalu kaya dan tidaklah terlalu susah.  Gerai mak cik Ton boleh tahan laku jugak disebabkan ramai orang datang untuk membeli laksa Pahang, laksam dan bubur lambuk. Harga laksa dikira mengikut saiz bungkusan plastik. Yang paling kecil berharga RM3 manakala yang paling besar berharga RM10. Bagi semangkuk bubur harganya cuma RM2 sahaja dan sebungkus laksam hanya RM2.50. Apa yang saya lihat mak cik Ton seorang yang suka bersedekah kerana setiap bungkusan makanan yang dibungkus pasti diisi dengan penuh. Dia juga ada cakap pada saya jangan kedekut dan sentiasalah bersedekah supaya kita dimurahkan rezeki.

nampak tak aura usahawan kat situ ?


Hampir pukul 5.30 petang orang ramai sudah mula ramai dan saya sangat seronok sebab dapat menolong mak cik Ton menjual banyak bungkusan dalam waktu yang singkat. Pada waktu ini anak mak cik Ton yang sedang belajar di giat mara datang menolong ibunya di gerai. Anaknya sungguh cekap membuat kerja mungkin sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian. Di sini juga saya dapat belajar loghat baru di mana ada seorang pelanggan yang bertanya harga sebungkus laksam tapi dia menyebut laksam dengan ‘laksang’. Mula-mula saya pun pelik sebab tidak pernah dengar sebelum ini tapi selepas beberapa pelanggan yang lain datang untuk membeli dan menyebut perkataan yang sama baru saya tahu.


Tepat pukul 6 petang saya telah diminta untuk berhenti menjual dan dalam masa yang sama saya sangat seronok kerana dapat pengalaman yang baru tapi agak sedih sebab dapat menolong mak cik Ton hanya sekejap sahaja. Mak cik Ton juga agak keberatan untuk membenarkan saya balik sebab katanya saya seorang pekerja yang bagus. Rasa bangga sekejap. Sebelum saya balik,  mak cik Ton sempat membungkuskan sedikit makanan untuk dibawa pulang dan saya juga segera meminta nombor telefon dia sebab saya sudah anggap dia seperti ibu saya dan katanya kalau ada apa-apa janganlah segan untuk menelefonnya. Dia juga sempat mengajak saya dan rakan-rakan yang lain untuk datang ke rumahnya kalau ada masa.
muka bahagia dapat bergambar . kihkih



 Selesai bersalaman dengan mak cik Ton dan mak cik Ani, saya terus bersiap-siap untuk pulang ke UMP semula.


Pengalaman hari ini sungguh bermakna dan akan saya ingat sampai bila-bila. Paling penting harapan saya agar hidup mak cik Ton dan mak cik Ani sentiasa diberkati. In sya Allah..

last snap  sebelum berpisah ^_^

Credit to: Apprentice Hanim

0 comments:

Post a Comment